LATAR BELAKANG SEKOLAH

SEJARAH LATAR BELAKANG
SMK. TENGKU PANGLIMA RAJA,
LEMAL , PASIR MAS KELANTAN

            Sejarah bermula apabila pertengahan tahun 1950-an, bilangan murid-murid yang ingin mendapatkan pelajaran kian bertambah , lantaran itu, pihak kerajaan mengambil iniasitif untuk menambah bilangan jumlah sekolah. Sejajar dengan itu, Penyata Razak 1956 telah membuka ruang untuk kerajaan membuat keputusan membina dua buah sekolah di Lemal. Pada peringkat awal tahun 1958, dua blok bangunan PWD 394 dan 395 telah dibina untuk sekolah umum Lemal ( aliran Melayu) dan satu lagi cawangan sekolah Inggeris Sultan Ibrahim (aliran Inggeris). Bangunan PWD 394 dibuka buat pertama kalinya pada tahun 1959. Pembukaan ini dijadikan sebagai cawangan sekolah Inggeris Sultan Ibrahim (ketika itu sekolah Inggeris Sultan Ibrahim belum lagi dipisahkan kepada rendah dan menengah). Keadaan ini menyebabkan bilangan bilik darjah  di bandar tidak mencukupi, secara tidak langsung beberapa bilik darjah terpaksa menggunakan bangunan PWD 394 ini. Pada masa itu, En Zainuddin Bin Hj.Yusoff  dilantik sebagai penyelia, manakala pada tahun 1960 , En Yusof  Bin Abdullah pula dilantik sebagai penyelia.
Pada tahun 1961, PWD 394 dijadikan kelas aliran Melayu bagi cawangan Sekolah Menengah Sultan Ibrahim (Bulan Januari 1961, Sekolah Inggeris Sultan Ibrahim dipisahkan kepada dua cawangan iaitu, En Mohd Yusof Bin Ghouse dilantik sebagai Guru Besar untuk Sekolah Menengah , manakala En Ahmad Bin Ab. Rahman dilantik sebagai Guru Besar di Sekolah Rendah). Pada tahun 1961 Penyelia bagi aliran Melayu  ialah En Hussin Bin Awang Besar.
Pada tahun 1961, dua blok bangunan PWD 424 dan 425 dibina. Pada bulan Januari 1962, PWD 394 dijadikan sekolah khas untuk Sekolah Lanjutan , En Raj Kumar dilantik sebagai Guru Besar. Pada tahun 1965, bangunan PWD 394,424 dan 425 dijadikan Sekolah Menengah Rendah Laki-Laki untuk aliran Melayu. Guru Besar yang pertama ialah En Hussin Bin Awang Besar. Apabila beliau melanjutkan pelajaran ke Universiti, dan tempat beliau diganti oleh En. Mohd Alkaf Bin Mohamad mulai bulan Mei 1966. Pada 24 Januari 1970 En.Yusof Bin Abdullah pula dilantik sebagai Guru Besar.
Mulai tahun 1967 murid-murid Sekolah Menengah Rendah ini telah mengambil Peperiksaan Sijil Rendah Pelajaran buat kali pertama. Dua tahun kemudiannya, mereka telah mengambil  peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia.  Pada tahun 1971, Sekolah Menengah Lemal telah menghadapi masalah besar iaitu kekurangan bilik darjah. Untuk menyelesaikan masalah tersebut, bilik-bilik Sains, pertukangan kayu dan logam telah dijadikan sebagai bilik darjah bagi menampung bilangan pelajar yang semakin bertambah. Dalam masa yang sama, bilik guru dan pejabat juga tidak ada. Walau bagaimanapun Sekolah Menengah Lemal mempunyai tandas dan elektrik yang mencukupi beserta dengan talian telefon. Oleh hal yang demikian seharusnya bersyukur walau dalam keadaan kedaifan, namun pelajar dapat mengikuti pembelajaran pertukangan kayu dan logam dengan baik.
Pada tahun 1971 Sekolah Menengah Lemal mula menerima pelajar perempuan dari sekolah-sekolah Menengah Rendah di Jajahan Pasir Mas, di samping adanya pelajar lelaki juga. Oleh sebab itu, permasalahan pula timbul iaitu kekurangan bilik darjah bagi menampung bilangan pelajar yang semakin bertambah. Kesannya, pada bulan 1971 sebuah bangunan tiga tingkat mula dibina dan setahun kemudiannya bangunan ini  telah dapat digunakan. Bangunan baru  ini disediakan tiga bilik maklmal sains yang lengkap dan sekolah ini pula mula memperkenalkan aliran sains. Guru-guru yang berkelayakan telah ditambah termasuk dari Pasukan Keamanan Amerika dan dua orang guru dari Indonesia (yang tamat perkhidmatannya  akhir tahun 1975). Sekolah Menengah Lemal, Pasir Mas juga mempunyai bangunan pertukangan kayu dan logam yang lengkap serta moden.
Meskipun bangunan  baru telah digunakan, namun masih lagi timbul masalah kekurangan bilik darjah. Sebagai usaha mengatasinya, sebuah bangunan baru tiga tingkat mula dibina pada bulan Oktober 1974. Pada awal tahun 1976 bangunan tambahan ini dapat digunakan sepenuhnya. Keadaan ini membolehkan pelajar tingkatan tiga belajar pada sesi  pagi. Dua bilik makmal sains telah ditambah di samping bilik kerjaya dan stor sukan.
Sekolah Menengah Lemal, Pasir Mas, Kelantan telah ditukarkan namanya dengan inisiatif PIBG pada 1hb Julai 1982 dengan nama barunya Seklah Menengah Tengku Panglima Raja, Lemal, Pasir Mas, Kelantan, sebagai mengenang jasa Yang Berhormat Mulia Tengku Panglima Raja, bekas Pegawai Jajahan ( zaman pemerintahan Inggeris) yang telah banyak menabur jasa di Daerah Pasir Mas ini. Pada awal bulan Mei 1983 Tingkatan enam (Rendah) telah dibuka di sekolah ini yang merupakan sebagai satu lembaran sejarah baru dalam bidang pengajaran dan pembelajaran di sekolah ini. Semoga sekolah ini akan terus memainkan peranannya  yang bermakna dalam arena pendidikan negara kita dan akan terus maju dari semasa ke semasa.
Dalam era globalisai ini, Sekolah Menengah Kebangsaan Panglima Raja masih utuh dengan  melahirkan ramai cerdik pandai yang telah mengharumkan nama negara. Sesungguhnya, kejayaan demi kejayaan yang dicipta ini adalah untuk memajukan anak bangsa bagi menujangi alaf yang lebih mencabar lagi. Insyaallah SMKTPR terus mengangkat nama di persada dunia suatu hari nanti dengan lahirnya mutiara-mutiara yang mewarnai kegemilangan pendidikan negara. Amin.